Thursday, April 17, 2014

Pelancaran Rasmi Pasar Kemboja Bandar Baharu

Hari ini 18 April 2014 (Jumaat) merupakan detik bersejarah perasmian Pasar Kemboja dan Karnival Autoshow di pinggiran Sungai Kerian (sebelah jambatan Parit Buntar-Bandar Baharu). Acara perasmian berlangsung pada jam 10.30.

Orang ramai dijemput hadir memeriah majlis yang berlangsung. Perasmian Pasar Kemboja ini bermakna secara rasminya pembukaan Pasar Kemboja yang berlangsung setiap Jumaat sepanjang tahun 2014. Pasar ini nanti bakal memasarkan pelbagai produk terutamanya fesyen fabrik.

Pasar Kemboja Bandar Baharu ini menggantikan Pasar Kemboja Parit Buntar yang telah ditutup pada akhir Disember 2013. Penutupan Pasar Kemboja Parit Buntar adalah disebabkan lokasi yang kurang strategik dan masalah lalu lintas yang mengganggu warga pelajar dan ibu bapa yang berulang-alik ke zon sekolah.

Alhamdulillah, kertas kerja dan pemplotan zon niaga yang dijalankan pada Disember lalu mendapat kelulusan Majlis Daerah Bandar Baharu. Pengarah Urusan Pasar Kemboja Bandar Baharu adalah Saudara Syahril Aman Bin Shahidan atau lebih dikenali Ein Kumbang. 

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan penubuhan Pasar Kemboja di Bandar Baharu, Kedah. Biarpun perubahan lokasi ini melibatkan perpindahan dari Perak ke Kedah namun fakta sebenarnya cuma perpindahan pada jarak 2km sahaja dari lokasi yang lepas.

Cukup manis untuk mengenangkan kemeriahan Pasar Kemboja Parit Buntar ya ng mana beliau salah seorang urusetia program. Besar harapan beliau untuk melihat kejayaan Pasar Kemboja Bandar Baharu setanding lokasi lama di Parit Buntar. 

Semoga pembukaan Pasar Kemboja Bandar Baharu membawa manfaat kepada semua terutamanya pengusaha-pembeli. Diharapkan Bandar Baharu bakal menghiasi peta sebagai zon perniagaan borong dan jualan murah seterusnya meningkatkan kedatangan pengunjung ke negeri Kedah. Pembukaan di lokasi ini juga diharapkan membawa tempias kepada penduduk tempatan dalam sama-sama menjana ekonomi dan meningkatkan sumber pendapatan.

Jom sertai dan menjadi sebahagian daripada mereka.