Wednesday, September 17, 2008

Poligami mampu lanjut usia


Jangka hayat lelaki lebih 12 peratus lebih panjang
LONDON: Satu penyelidikan terbaru mendapati bahawa cara paling berkesan untuk memanjangkan usia bagi lelaki bukanlah senaman atau diet rendah lemak, tetapi berkahwin lagi.

Kesimpulan itu adalah hasil kajian yang mendedahkan bahawa lelaki yang hidup di dalam budaya mengamalkan poligami lebih panjang usianya berbanding mereka yang hanya mempunyai seorang isteri.

Ahli ekologi Universiti Sheffield, Virpi Lummaa, berkata selepas menilai perbezaan sosioekonomi, kajian beliau mendapati lelaki berusia lebih 60 tahun di 140 negara mengamalkan poligami mempunyai jangka hayat 12 peratus lebih panjang berbanding lelaki di 49 negara yang tidak mengamalkan poligami.

“Hasil kajian terbaru ini mungkin dapat menyelesaikan beberapa persoalan di dalam biologi manusia antaranya termasuk mengapa lelaki boleh hidup begitu lama. Bagaimanapun apabila soalan sama dikemukakan kepada wanita yang boleh hidup lama selepas putus haid, barulah kami mendapat jawapan munasabah,” katanya.

Lummaa berkata, satu daripada jawapannya ialah fenomena dikenali ‘kesan menjadi nenek’. Bagi setiap tempoh 10 tahun jangka hayat wanita selepas putus haid, mereka akan mendapat tambahan dua orang cucu.

“Kami mendapati menjaga dan memanjakan cucu mampu memberi kegembiraan dan membantu memanjangkan lagi jangka usia mereka,” katanya.

Lelaki sebaliknya masih mampu mendapatkan zuriat pada usia 60-an, 70-an malah 80-an dan kebanyakan penyelidik mengandaikan keupayaan ini sebagai penjelasan kepada usia panjang mereka.

Lummaa dan rakannya Andy Russell turut menguji penyelidikan mereka dengan menganalisis rekod dan maklumat mengenai 25,000 lelaki di sebuah wilayah di England yang hidup daripada abad ke-18 hingga 19.

“Kami mendapati penduduknya amat kurang berpindah, tiada siapa mengamalkan perancangan keluarga manakala pihak gereja menguatkuasakan undang-undang monogami. Hanya duda boleh berkahwin dan jika mereka mempunyai isteri baru mereka akan mempunyai lebih ramai anak berbanding lelaki yang hanya berkahwin sekali,” katanya. - Agensi

Ihsan - Bharian25082008
Artikel asal - Poligami mampu lanjut usia: Kajian