Wednesday, April 16, 2008

Industri Batik Bakal Ketinggalan


Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU 15 April — Industri batik negara bakal ketinggalan jika pengusaha masih menggunakan kaedah tradisional iaitu seni lukisan tangan dan cop kerana ia memakan masa untuk menghasilkannya.

Pegawai Eksekutif Noor Arfa Batik, Wan Mohd Ariffin Wan Long berkata kaedah tradisional itu kurang sesuai pada masa kini dan pengusaha batik perlu bertukar kepada sistem cetak yang jauh lebih cepat dan menguntungkan.

“Jika menggunakan cara lama, seorang pekerja hanya boleh mengecop batik sepanjang 200 meter sehari tetapi dengan cara cetak, mereka mampu menghasilkan sehingga 1,000 meter sehari,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada masa kini, beliau berkata pelanggan lebih mengutamakan ketepatan masa dan melalui kaedah cetak itu, mereka mampu memenuhi kehendak pembeli.

“Kaedah cetak ini menjimatkan masa bagi menampung permintaan yang tinggi terutama dari agensi kerajaan. Pengusaha batik perlu peka terhadap perkara ini,” katanya.

Selain harga yang lebih murah iaitu sekitar 30 peratus berbanding batik yang dihasilkan melalui kaedah cop, beliau berkata kualiti batik cetak lebih terjamin kerana mempunyai corak yang sama.

“Dengan kaedah cetak sahaja industri batik negara mampu menyaingi pengeluaran batik dari luar terutama Indonesia dan Thailand,” katanya.

Bagaimanapun, katanya modal permulaan bagi melaksanakan kaedah cetak itu adalah tinggi iaitu kira-kira RM1 juta.

“Setakat ini hanya satu pengusaha batik di Terengganu dan dua di Kelantan yang menggunakan kaedah mencetak batik,” katanya tanpa menyebut pengusaha batik mana dari negeri ini, yang menggunakan kaedah cetak bagi menghasilkan batik.
Ihsan : BERNAMA