Sunday, November 18, 2007

Kaya dengan menulis

Jeniri jadi kaya dengan menulis

TIDAK ramai penulis dengan berani mengakui mereka mendapat banyak duit dengan menulis. Ada penulis berselindung di sebalik beberapa nama pena bagi mengelak orang lain mengetahui mereka kaya dengan menulis.

Ada juga yang menulis, menerbitkan dan menjual sendiri karya bagi menjamin mereka mendapat untung sepenuhnya tanpa berkongsi dengan penerbit dan pengedar buku.
Jeniri Amir, penulis prolifik dari Sarawak antara sejumlah kecil penulis yang selalu bersedia berkongsi pengalaman peribadinya menulis dan hidup selesa sebagai penulis. Dalam masa dua puluh tahun, Jeniri telah menulis hampir seratus judul buku dan beratus-ratus rencana untuk akhbar dan majalah. Beliau diberi anugerah dalam kategori penulis Malaysia paling prolifik melalui Anugerah Buku Malaysia 2005, selain mendapat hadiah dalam Anugerah Buku Unimas 2007.

Mengenali Jeniri dengan lebih rapat, bekas guru, wartawan dan kini pensyarah bidang komunikasi di Universiti Malaysia Sarawak ini memang rajin menulis dan mendapat banyak wang dengan menulis. Beliau ‘gila’ membeli buku. Pejabatnya di Unimas cuma tinggal ruang kecil untuk pelajar datang mendapatkan nasihat dan rundingan. Di rumah dua tingkatnya, di Kampung Pinang Jawa, Petrajaya juga ada sebuah kamar besar yang sarat dengan buku.
Melihat keadaan rumahnya, kenderaan yang dipandunya dan cara hidupnya, dapatlah disimpulkan Jeniri memang buat duit dengan menulis buku, atau menghabiskan duit dengan membeli buku.

Jeniri menghabiskan hari-hari cutinya dengan menulis. “Nilai baki cuti tahunan kalau ditukar dengan wang selepas bersara tidak sebesar mana pun, lebih baik digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar bukan sahaja kepada penulis tetapi besar juga manfaatnya kepada pembaca,” jelas Jeniri bagaimana beliau memanipulasi cuti rehat tahunannya untuk menulis.
Beliau tidak mencuci keretanya sendiri, sebaliknya ‘menyimpan’ tenaganya untuk menulis. Tenaganya ditambah pula dengan membeli pil vitamin dan tenaga tambahan untuk tetap segar bila menulis. “Upah mencuci kereta tak seberapa. Itu rezeki budak-budak pencuci kereta. Masa dan tenaga mencuci kereta kalau digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar,” kata Jeniri itu memang ada kebenarannya.

Beliau menulis banyak buku tentang penulisan dan tidak ketinggalan mengajak kita semua menulis untuk wang. Sebelum ini beliau menerbitkan buku berjudul Buat Duit Dengan Menulis yang mendapat sambutan besar dan telah diulang cetak. Terbaru Jeniri muncul dengan bukunya Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar.

Dengan gaya bahasanya yang bertenaga Jeniri mengajak kita semua mengaut sebanyak-banyaknya wang besar dengan menulis buku yang orang lain mahu membacanya. Justeru, kita mesti mula mengasah kemahiran menulis kerana tidak semua dianugerahkan bakat menulis.
Dalam apa juga profesion dan kerjaya, disiplin adalah perkara utama. Demikian juga dengan penulisan kita mesti mendisiplinkan diri dengan pelbagai perkara daripada mengaturkan masa hinggalah memaksa diri membaca karya orang lain, merujuk kamus dan daftar ejaan, mengunjungi kedai dan pesta buku selain kerap ke perpustakaan.

Pilihlah genre yang kita minati dan akrab dengannya. Kita boleh saja menulis pelbagai karya kreatif dan popular termasuk novel, cerpen dan puisi hinggalah ke buku umum, buku teks atau ulasan politik. Tuah ayam nampak di kaki, tuah penulis pada royalti.

Justeru, perlulah kita membaca dan membuat rujukan, memerah otak mencari ilham dan idea dan menjawab soalan paling asas; mahu tulis apa? Bagaimana kaedah menulis yang paling berkesan? Bagaimana merangka dan mengajukan cadangan penulisan yang dapat meyakinkan penerbit dan editor? Bertolaklah dengan mula mengetahui dan mengenali pelbagai aspek dalam penerbitan buku.

Setelah tetap dengan apa yang ingin ditulis dan mula mengumpulkan bahan dan idea, mulakan dengan menyusunnya dan memikirkan tajuk yang baik, judul yang memikat. Dengan bantuan artis grafik, judul itu dipadankan dengan ilustrasi yang tepat sehingga menjadikan kulitnya cukup menawan dan menggoda pembaca membelinya.

Bagi menghidupkan tulisan, Jeniri memberikan beberapa pedoman antaranya menerapkan angka dan statistik, menyelitkan contoh dan memasukkan kutipan. Dalam karya kreatif, ada pelbagai cara memberikan nyawa kepada watak dan ada pula kaedah melukis watak agar menggerakkan minda pembaca. Penulis mesti cekap menyerlahkan sesuatu bau, bunyi, rasa – marah, sedih, kecewa, gembira.

Memang, bagi penulis yang baru, mereka boleh saja tersesat dan hilang punca apabila menulis. Bagaimana memulakan ayat pertama, menyusun perenggan dan menamatkan penulisan? Jeniri menunjukkan bagaimana kita dapat menganyam pelbagai fakta dan maklumat yang ada, membina tarikan pada fakta yang dibentangkan menggunakan pelbagai pendekatan. Semuanya menuntut kreativiti penulisnya dalam memilih kata yang paling tepat.

Beberapa pedoman perlu dipegang apabila menulis misalnya menulis ayat yang pendek dan mudah dan bukan ayat yang kompleks. Pengalaman membaca amat penting diterapkan apabila kita menulis dan daripada sinilah kita dapat memperlihatkan kekayaan dan kepelbagaian perbendaharaan kata yang kita bina daripada pembacaan yang banyak.
Demikianlah Jeniri menuangkan pengalamannya dalam buku ini. Demi memperbanyak terbitan buku di negara ini, Jeniri menerbitkan buku ini untuk dijadikan pedoman bagi semua bakal penulis.

* ROOSFA HASHIM, Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kenapa membaca?

Kenapa peduli soal membaca?
Oleh Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim

ANTARA persoalan yang sering disoal oleh sahabat-sahabat penulis, mengapa perlu ambil peduli terhadap masalah membaca dalam masyarakat kita? Bukankah Malaysia sudah hampir pulih daripada masalah buta huruf? Bukankah masyarakat sudah banyak membaca?
Jadi, apa masalahnya?

Mengapa perlu ambil peduli jika semua jawapan di atas telah terjawab? Bagi penulis, jawapan yang betul belum lagi terbukti benar. Apa alasannya?

Alasannya banyak. Antaranya masalah sosial yang berlaku.
Ada pula yang mengatakan, masalah sosial bukannya masalah hasil daripada tidak membaca. Malah, masyarakat Barat yang terlalu banyak membaca pun mempunyai banyak masalah dalam masyarakatnya sendiri.

Jadi, tentunya ada yang masih tidak kena. Pada penulis, mungkin kerana hasil pembacaan itu tidak berkualiti. Banyak membaca ‘sampah’ daripada ilmu.

Penulis kutip sekali lagi kata-kata Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-Kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979, bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju.

Bahan bacaan perlu dipilih “...membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu.”
Maknanya, pembacaan yang berkualiti adalah membaca bahan-bahan bacaan yang terpilih. Yang berilmu. Kerana dengan ilmulah, sesebuah masyarakat itu akan memilih kebenaran, dalam erti kata yang sebenarnya.

Sempurna
Memetik tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya Risalah untuk Kaum Muslimin:
Plato pernah menarik perhatian dengan menyatakan bahawa untuk seseorang menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam sesuatu bidang kehidupan maka perlulah dia mempunyai ilmu yang lengkap pula mengenai bidang itu.

Ilmu pula boleh didapati daripada pelbagai sumber. Ya, memang benar, ilmu bukan sekadar boleh didapati dari pembacaan, malah Elbert Einstein mendapat idea tentang graviti daripada pemerhatian beliau terhadap sebiji buah epal yang jatuh dari pokok. Malah, dari al-Quran umum mengetahui bahawa Allah menurunkan ilmu melalui pelbagai bentuk, misalnya melalui binatang seperti yang diterangkan di dalam al- Quran, surah Al-Nahl (lebah).

Namun begitu, ilmu tanpa amal, lantas ilmu tanpa dicatat tiada gunanya kepada manusia. Kerana ilmu perlu diguna, dan seterusnya ilmu-ilmu baru muncul lalu perlu pula evolusi ilmu-ilmu itu dicatat, ditulis lalu dijadikan buku.

Tamadun-tamadun silam, seperti tamadun Greek dahulu banyak meninggalkan ilmu yang kemudiannya disambung dan ‘diperbetulkan’ oleh peradaban Islam. Catatan-catatan cerdik pandai Greek pula pada ketika itu banyak ditulis dan dihasilkan di atas helaian- helaian kertas yang digulung. Perpustakaan dibina untuk menyimpan hasil-hasil ilmu tersebut. Namun bukan semua ilmu itu terselamat daripada malapetaka. Ada yang hilang, terbakar, dibakar dan sebagainya.

Peradaban
Namun, ilmu-ilmu yang terselamat itu semestinya adalah yang ditulis. Lantas, peradaban yang datang kemudian adalah hasil daripada pembacaan buku-buku dari peradaban silam. Andai dapat dibayangkan sekiranya buku tidak wujud. Kertas dan pena tidak digunakan, apa yang bakal terjadi kepada manusia pada peradaban yang seterusnya. Inilah yang seharusnya kita pedulikan.

Perlu peduli tentang gerakan membaca dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat yang terputus dengan amalan membaca, pastinya adalah sebuah masyarakat yang mundur ilmu dan pemikirannya. Sekiranya membaca tidak penting, mengapa al-Quran sendiri menyeru umat manusia untuk membaca?

Untuk mendapat ilmu, hasil pembacaan itu sendiri perlulah yang bermutu. Bukan sekadar membaca daripada tulisan akademik, malah hasil-hasil fiksyen juga memainkan peranan. Tetapi setakat mana pula kualiti fiksyen yang perlu dihasilkan?

Misalnya merenung kembali tulisan Asimov, bukan sekadar melayani pemikiran fiksyennya, sebaliknya ia merupakan hasil daripada kajian dan idea beliau sendiri. Prof. Asimov, merupakan seorang Profesor kimia, telah banyak menghasilkan karya-karya sains fiksyen, yang kemudiannya telah menerajui sains NASA. Kerana kreativiti yang terancang melalui karya fiksyen adalah antara yang terbaik dan mudah difahami, dan untuk mengubah perangai masyarakat adalah melalui karya fiksyen.

Gerakan membaca perlu diteruskan. Pelbagai media perlu digunakan sepenuhnya. Perancangan masa hadapan yang lebih terperinci perlu digarap dan dilaksanakan. Semua pihak perlu diinsafkan apa yang akan berlaku kepada masyarakat yang tidak membaca. Semuanya ini memerlukan komitmen yang tinggi. Dan seharusnya kita perlu ambil peduli.

Friday, November 9, 2007

5. Tumpukan perhatian


Ihsan : Ikhwan Assafa

Ketika membaca, sentiasalah focus dan peka pada subjek ulang kaji. Cubalah membaca tanpa mengendahkan gangguan luar. Perbuatan membaca melibatkan 20 peratus pergerakan mata, tetapi majoritinya adalah putaran fikiran sehingga 80 peratus. Maka, jika fikiran terganggu, sukar untuk memahami bacaan. Akhirnya, setelah selesai membaca satu muka surat namun anda tidak memahami butir-butirnya. Hal ini berlaku kerana hanya mata anda yang membaca, tetapi fikiran terbang ke lain.

Kadang-kadang amat sukar untuk menumpukan fikiran, minda mudah terpesong dan hilang fokus. Maka ulangi bacaan kembali. Untuk mengurangkan gangguan faktor luar, cubalah mengunyah gula-gula atau makanan ringan. Kunyahan juga dikatakan boleh memusatkan pemikiran anda. Membaca dengan kuat juga boleh mengelakkan fikiran daripada melayang. Tetapi harus diingat, membaca dengan kuat (atau sekadar menggerak bibir) juga akan memakan masa, dan melambatkan pembacaan.

4. Berhenti berehat


Ihsan : IkhwanAssafa
Janganlah terus-terusan bergelumang menghadap buku sehingga berjam-jam. Berehat juga salah satu elemen penting dalam teknik membaca, agar pembacaan lebih cepat difahami. Katakanlah anda menetapkan pukul 8 malam hingga12 tengah malam sebagai waktu ulang kaji. Setelah mengulang kaji dalam 2 jam pertama, berehatlah sekejap. Alihkan perhatian seperti berbual dengan orang lain, beriadah meregangkan tubuh, makan, bersiar-siar atau bersolat sebelum menyambung kembali bacaan. Setelah berehat, fikiran yang beku akan menjadi lebih segar, dan bacaan tentu lebih senang difahami.

3. Berfikir Dengan Kritis


Ihsan : Ikhwan Assafa


Ketikamembaca, tanamkan sikap ingin tahu, ingin memahami dan mempersoalkan setiap pembacaan. Jangan sekadar membaca melulu dan menerima sahaja setiap perkataan. Jangan terus bersetuju tanpa berfikir dengan kritis dan mempertikaikannya. Dengan mempersoalkannya, anda akan lebih faham, dan juga akan lebih bersedia untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang bakal dibangkitkan dalam peperiksaan kelak. Jika membaca tentang Sains contohnya, timbulkan persoalan seperti mengapa berlaku sebegitu, mengapa daun berwarna hijau, mengapa awan berwarna putih dan mengapa uranium radioaktif.


Anda juga boleh menggunakan teknik SQ3R yang diperkenalkan oleh Robinson beberapa dekad yang lepas.Mengikut teknik tersebut, S bermaksud survey, sebelum membaca perlulah dikilas perkara yang bakal dibaca, setiap topik dan subtopik, gambar atau gambar rajah dan rujukan agar anda tahu perkara yang bakal dihadapi. Q pula bermaksud question; bagi setiap topik yang dibaca, jangan terus mempercayai, pertikaikan setiap fakta (seperti yang disebut sebelum ini). 3R pula adalah read (baca teks ulang kaji), recite (menyebut fakta dengan lisan dankuat) dan review (mengulang kembali dalam minda segala yang telah dibaca dan dipelajari agar mudah difahami).

2. Rancang Topik Ulang Kaji


Ihsan : Ikhwan Assafa

Sebelum mula membaca, anda perlu merancang topik ulang kaji. Jangan membaca sembarangan mengambil senaskah buku dan terus duduk membaca tanpa membuat apa-apa rancangan. Dengan adanya perancangan, anda mempunyai sasaran dan bermotivasi mencapainya. Jadualkan waktu ulang kaji dengan mengenal pasti subjek yang mahu dibaca, topik yang mahu difahami dan buku rujukan yang dipilih. Minta nasihat guru untuk membeli buku rujukan tambahan disamping buku teks wajib. Jika tiada halangan, anda boleh jadualkan waktu untuk merujuk sumber internet.


Kemudian, setelah jadual difikirkan, dan anda mempunyai sasaran bacaan yang mahu dicapai, duduk di kerusi, dan jika anda beragama Islam mulakan membaca dengan kalimah Bismillah, berdoa agar diterangkan hati dan ditumpukan fikiran.

1. Pilih Waktu dan Lokasi


Ihsan : Ikhwan Assafa


Sebelum membaca, pilihlah waktu dan lokasi yang sesuai. Pilih masa yang padan dengan jadual anda; pada waktu lapang, tanpa banyak gangguan luar. Dikatakan, waktu Subuh yang hening amat sesuai untuk mengulang kaji pelajaran. Ilmu yang di baca mudah sahaja masuk ke dalam kepala dalam dingin Subuh itu. Lokasi juga perlu tepat. Pastikan tempat mengulang kaji itu tidak bising dan tiada gangguan luar seperti televisyen yang dipasang atau suara bingit orang lain. Jika sudah biasa, bolehlah dilatari muzik untuk menenggelamkan bunyi bising tersebut. Selain itu, ada di antara kitayang lebih senang membaca dengan dilatari muzik pop, orkestra, instrumental ataupun bacaan suci A-Quran. Tempat bacaan juga haruslah tidak terlalu terang benderang hingga menyilaukan, dan tidak pula terlalu suram atau gelap. Sekadar cahaya yang mencukupi sahaja.


Tempat bacaan perlulah lengkap dan selesa, dengan meja dan kerusi yang elok. Duduklah dengan tegak, jangan terhenyak. Jangan berdiri atau mundar-mandir kerana anda akan lambat faham dan sentiasa mengulang perkara yang sama. Kawasan sekitar juga harus selesa, tidak terlalu hangat, dan tidak sejuk hingga anda kedinginan pula.

Teknik Membaca



Ihsan : Ikhwan Assafa

Membaca bahan ulang kaji adalah antara aktiviti terpenting dalam pembelajaran. Jika sekadar hadir ke kelas dan diajar guru, tetapi tidakmahu membaca, mustahil dapat memahami seterusnya menguasai pelajaran. Tetapi adakalanya, walaupun anda terperap di kerusi belajar mengadap buku, membaca mukasurat demi muka surat, tetapi satu perkataan pun tidak masuk ke dalam kepala. Mengapa ya? Bagaimana jika anda mencuba beberapa tip berikut untuk mengatasi hal tersebut.