Thursday, April 17, 2014

Pelancaran Rasmi Pasar Kemboja Bandar Baharu

Hari ini 18 April 2014 (Jumaat) merupakan detik bersejarah perasmian Pasar Kemboja dan Karnival Autoshow di pinggiran Sungai Kerian (sebelah jambatan Parit Buntar-Bandar Baharu). Acara perasmian berlangsung pada jam 10.30.

Orang ramai dijemput hadir memeriah majlis yang berlangsung. Perasmian Pasar Kemboja ini bermakna secara rasminya pembukaan Pasar Kemboja yang berlangsung setiap Jumaat sepanjang tahun 2014. Pasar ini nanti bakal memasarkan pelbagai produk terutamanya fesyen fabrik.

Pasar Kemboja Bandar Baharu ini menggantikan Pasar Kemboja Parit Buntar yang telah ditutup pada akhir Disember 2013. Penutupan Pasar Kemboja Parit Buntar adalah disebabkan lokasi yang kurang strategik dan masalah lalu lintas yang mengganggu warga pelajar dan ibu bapa yang berulang-alik ke zon sekolah.

Alhamdulillah, kertas kerja dan pemplotan zon niaga yang dijalankan pada Disember lalu mendapat kelulusan Majlis Daerah Bandar Baharu. Pengarah Urusan Pasar Kemboja Bandar Baharu adalah Saudara Syahril Aman Bin Shahidan atau lebih dikenali Ein Kumbang. 

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan penubuhan Pasar Kemboja di Bandar Baharu, Kedah. Biarpun perubahan lokasi ini melibatkan perpindahan dari Perak ke Kedah namun fakta sebenarnya cuma perpindahan pada jarak 2km sahaja dari lokasi yang lepas.

Cukup manis untuk mengenangkan kemeriahan Pasar Kemboja Parit Buntar ya ng mana beliau salah seorang urusetia program. Besar harapan beliau untuk melihat kejayaan Pasar Kemboja Bandar Baharu setanding lokasi lama di Parit Buntar. 

Semoga pembukaan Pasar Kemboja Bandar Baharu membawa manfaat kepada semua terutamanya pengusaha-pembeli. Diharapkan Bandar Baharu bakal menghiasi peta sebagai zon perniagaan borong dan jualan murah seterusnya meningkatkan kedatangan pengunjung ke negeri Kedah. Pembukaan di lokasi ini juga diharapkan membawa tempias kepada penduduk tempatan dalam sama-sama menjana ekonomi dan meningkatkan sumber pendapatan.

Jom sertai dan menjadi sebahagian daripada mereka.

Thursday, November 1, 2012

Koleksi kerusi batu yang kreatif




Selalu sangat memerhatikan kerusi batu bila keluar jalan-jalan. Timbul rasa minat untuk melihat, memegang, komen dan pikirkan bentuk kerusi batu pada masa depan. Kan best jika bentuk kreatif dan unik mana-mana kerusi batu ini digabungkan untuk mereka bentuk dan make-up (inovasi) kerusi batu yang memenuhi citarasa masyarakat kini.

Wah! macam nak buka bisnes aja. Sebenarnya aku sendiri belum memiliki kerusi batu untuk santai-santai depan rumah. Apatah lagi nak buka bisnes kerusi batu. Ketika ni baru dok cuci mata cari kerusi batu yang memenuhi citarasa sendiri. Sebenarnya, kerusi batu ni hampir sama saja fungsinya. Rasa keras dan sejuk apabila punggung melabuh di atasnya. Cuma mata saja demand nak design yg sedap dipandang.

Maka aku kumpulkan gambar-gambar kerusi batu yang unik dan kreatif.   

Tuesday, May 19, 2009

Jangan renung wanita lama-lama



Sekadar gambar hiasan


Menurut sekumpulan saintis, perasaan cinta akan datang jika seseorang lelaki memandang wanita yang diminatinya selama 8.2 saat. Kajian itu disiarkan dalam jurnal Archives of Sexual Behavior.

Sekumpulan penyelidik menyatakan jika seseorang lelaki merenung wanita hanya selama empat saat, ia menunjukkan lelaki itu tidak menyukai orang yang direnunginya itu.

Kajian itu dilakukan terhadap 115 pelajar dimana beberapa kamera tersembunyi mengesan pergerakan mereka sewaktu berbual dengan pelakon dan aktres.

Mereka kemudian diminta memberikan penilaian terhadap daya tarikan pasangan masing-masing.

Namun, pelajar wanita lebih berasa bimbang untuk menarik perhatian yang tidak dikehendaki kerana risiko enggan hamil dan menjadi ibu tunggal.

Wednesday, October 22, 2008

Otak proaktif selepas jam 10 malam



Kajian mendapati pekerja sukar selesai masalah selepas makan tengah hari masa paling kurang kreatif

LONDON: Satu hasil tinjauan terbaru mendakwa masa paling kreatif dan bertenaga bagi individu adalah jam 10.04 malam dan bukannya pada siang hari yang sememangnya diingini ramai berikutan waktu bekerja dan persekolahan.

Tinjauan penyelidik Universiti Katolik di Milan, Itali, menunjukkan otak kurang berkembang pada sebelah tengah hari. Berikutan itu, pekerja lazimnya sukar menyelesaikan masalah kerja selepas makan tengah hari, lapor Daily Telegraph semalam.

Masa paling kurang kreatif adalah jam 4.33 petang dan 92 peratus daripada 1,426 responden, mengakui mereka tidak bersemangat pada masa itu.

Kira-kira 25 peratus responden pula mengakui berjaga malam bagi mencari inspirasi atau idea baru bagi memanfaatkan tugasan mereka. Bercanggah dengan kepercayaan ramai pengurus, ramai mengakui waktu bekerja pada siang hari tidak mampu memberi semangat. Ditanya kaedah bagi mendapatkan kreativiti, seramai 44 peratus responden mendakwa mereka mandi.

Malangnya, biar pun cerdik, lebih separuh daripada idea kita lazimnya hilang buat selama-lamanya. Ini disebabkan apabila idea hadir, seramai 58 peratus orang ramai gagal menulisnya dengan segera, menyebabkannya terus hilang.

Malah, berbanding lelaki, wanita terbukti lebih cemerlang dan cekap menulis idea mereka. Seramai satu pertiga daripada mereka berusia lebih 35 tahun pula memilih untuk menulis idea di telapak tangan bagi mengelak lupa.

"Mereka yang suka berjaga malam lazimnya dapat mengemukakan idea lebih baik," kata hasil laporan penyelidikan berkenaan.

Hasil kajian pada 2006 menunjukkan golongan kreatif seperti pelukis dan penyajak terbukti mempunyai dua atau tiga kali ganda lebih ramai pasangan seks.

Ihasan : Agensi, Berita Harian

Saturday, October 18, 2008

Layari Internet baik untuk otak




(Sekadar gambar hiasan)

LOS ANGELES - Mereka di peringkat umur pertengahan dan warga emas yang melayari internet dikatakan dapat membantu meningkatkan kemampuan serta kekuatan otak individu.

Pengkaji Universiti California, Profesor Gary Small dalam kajian dimuatkan American Journal of Geriatric Psychiatry, mendapati internet merangsang pusat otak yang berfungsi mengawal manusia untuk membuat keputusan dan aktiviti pergerakan.

Penemuan ini dapat membantu mereka pada peringkat umur tersebut kerana usia lanjut menyebabkan pengurangan aktiviti sel yang memungkinkan pretasi otak merosot.
Small memberitahu, aktiviti seperti teka silang kata dapat membantu meminimumkan impak otak selain melayari internet yang mempunyai banyak permainan berkaitan dengan minda.

Ihsan - Agensi, Kosmo

Wednesday, September 17, 2008

Poligami mampu lanjut usia


Jangka hayat lelaki lebih 12 peratus lebih panjang
LONDON: Satu penyelidikan terbaru mendapati bahawa cara paling berkesan untuk memanjangkan usia bagi lelaki bukanlah senaman atau diet rendah lemak, tetapi berkahwin lagi.

Kesimpulan itu adalah hasil kajian yang mendedahkan bahawa lelaki yang hidup di dalam budaya mengamalkan poligami lebih panjang usianya berbanding mereka yang hanya mempunyai seorang isteri.

Ahli ekologi Universiti Sheffield, Virpi Lummaa, berkata selepas menilai perbezaan sosioekonomi, kajian beliau mendapati lelaki berusia lebih 60 tahun di 140 negara mengamalkan poligami mempunyai jangka hayat 12 peratus lebih panjang berbanding lelaki di 49 negara yang tidak mengamalkan poligami.

“Hasil kajian terbaru ini mungkin dapat menyelesaikan beberapa persoalan di dalam biologi manusia antaranya termasuk mengapa lelaki boleh hidup begitu lama. Bagaimanapun apabila soalan sama dikemukakan kepada wanita yang boleh hidup lama selepas putus haid, barulah kami mendapat jawapan munasabah,” katanya.

Lummaa berkata, satu daripada jawapannya ialah fenomena dikenali ‘kesan menjadi nenek’. Bagi setiap tempoh 10 tahun jangka hayat wanita selepas putus haid, mereka akan mendapat tambahan dua orang cucu.

“Kami mendapati menjaga dan memanjakan cucu mampu memberi kegembiraan dan membantu memanjangkan lagi jangka usia mereka,” katanya.

Lelaki sebaliknya masih mampu mendapatkan zuriat pada usia 60-an, 70-an malah 80-an dan kebanyakan penyelidik mengandaikan keupayaan ini sebagai penjelasan kepada usia panjang mereka.

Lummaa dan rakannya Andy Russell turut menguji penyelidikan mereka dengan menganalisis rekod dan maklumat mengenai 25,000 lelaki di sebuah wilayah di England yang hidup daripada abad ke-18 hingga 19.

“Kami mendapati penduduknya amat kurang berpindah, tiada siapa mengamalkan perancangan keluarga manakala pihak gereja menguatkuasakan undang-undang monogami. Hanya duda boleh berkahwin dan jika mereka mempunyai isteri baru mereka akan mempunyai lebih ramai anak berbanding lelaki yang hanya berkahwin sekali,” katanya. - Agensi

Ihsan - Bharian25082008
Artikel asal - Poligami mampu lanjut usia: Kajian

Wednesday, April 16, 2008

Industri Batik Bakal Ketinggalan


Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU 15 April — Industri batik negara bakal ketinggalan jika pengusaha masih menggunakan kaedah tradisional iaitu seni lukisan tangan dan cop kerana ia memakan masa untuk menghasilkannya.

Pegawai Eksekutif Noor Arfa Batik, Wan Mohd Ariffin Wan Long berkata kaedah tradisional itu kurang sesuai pada masa kini dan pengusaha batik perlu bertukar kepada sistem cetak yang jauh lebih cepat dan menguntungkan.

“Jika menggunakan cara lama, seorang pekerja hanya boleh mengecop batik sepanjang 200 meter sehari tetapi dengan cara cetak, mereka mampu menghasilkan sehingga 1,000 meter sehari,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada masa kini, beliau berkata pelanggan lebih mengutamakan ketepatan masa dan melalui kaedah cetak itu, mereka mampu memenuhi kehendak pembeli.

“Kaedah cetak ini menjimatkan masa bagi menampung permintaan yang tinggi terutama dari agensi kerajaan. Pengusaha batik perlu peka terhadap perkara ini,” katanya.

Selain harga yang lebih murah iaitu sekitar 30 peratus berbanding batik yang dihasilkan melalui kaedah cop, beliau berkata kualiti batik cetak lebih terjamin kerana mempunyai corak yang sama.

“Dengan kaedah cetak sahaja industri batik negara mampu menyaingi pengeluaran batik dari luar terutama Indonesia dan Thailand,” katanya.

Bagaimanapun, katanya modal permulaan bagi melaksanakan kaedah cetak itu adalah tinggi iaitu kira-kira RM1 juta.

“Setakat ini hanya satu pengusaha batik di Terengganu dan dua di Kelantan yang menggunakan kaedah mencetak batik,” katanya tanpa menyebut pengusaha batik mana dari negeri ini, yang menggunakan kaedah cetak bagi menghasilkan batik.
Ihsan : BERNAMA